DALIL-DALIL KECINTAAN HAMBA KEPADA TUHAN

Mencintai Allah Taala dan Rasul-Nya itu disepakati wajibnya.

Firman-Nya Azza wa Jalla:

يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ

“Dia mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya.”

(Al Maidah: 54)

Ayat ini menjadi satu bukti wujudnya ‘cinta’ kepada Allah Taala Yang Maha Penyayang.

Firman Allah Taala lagi:

وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَشَدُّ حُبًّا لِّلّهِ

“Orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah.”

(Al Baqarah: 165)

Ayat ini juga menjadi dalil memang wujud kecintaan kepada Allah.

Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW menjadikan kecintaan kepada Allah itu termasuk sebahagian daripada syarat iman. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya cinta makhluk kepada Khalik.

Pernah Abu Razin Al ‘Uqaili bertanya: “Wahai Rasulullah. Apakah iman itu?”

Rasulullah SAW menjawab: “(Iman itu ialah) Allah dan Rasul-Nya lebih kamu cintai daripada yang lain.”

(Ahmad)

Tersebut dalam hadis yang lain:

“Tidak beriman seorang dari kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.”

(Bukhari & Muslim)

Begitu juga dengan hadis:

“Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) lebih dicintai daripada isterinya, hartanya dan sekelian manusia.”

(Bukhari & Muslim)

Dalam satu riwayat ditambah pula hadis di atas dengan perkataan “dan dari dirinya sendiri.”

Keterbalikan daripada hadis-hadis yang disebutkan tadi, dapatlah kita membuat kesimpulan, orang yang ada mencintai sesuatu lebih daripada kecintaannya kepada Allah dan Nabi Muhammad sebenarnya tidak beriman. Banyak orang yang bercakap, “Aku cintakan Nabi Muhammad’ tetapi tidak banyak pun sunnah-sunnah Rasulullah yang diamal, dipertahan dan disebarkannya.

Satu cara mudah untuk kita menguji kecintaan kita kepada Allah dan Rasul-Nya ialah dengan mengimbas kembali waktu yang kita gunakan dalam sehari-hari. Perkara apakah yang paling banyak kita bualkan dan kita fikirkan sepanjang hari itu? Banyak manakah masa yang kita gunakan untuk berfikir dan berbual tentang Allah dan Islam berbanding masa yang kita gunakan untuk berfikir dan berbual tentang kerja, berfikir dan berbual tentang kenderaan seperti kereta dan motosikal, berfikir dan berbual tentang hobi seperti memancing, perempuan dan bersukan, berbual dan berfikir tentang hiburan dan artis, berfikir dan berbual tentang tokoh-tokoh dari kalangan manusia dan sebagainya?

Jika jumlah masa kita berfikir dan berbual tentang Allah dan Rasul-Nya melebihi masa yang digunakan untuk berfikir dan berbual tentang benda lain, maka itulah ‘cinta’ yang dimaksudkan dalam hadis-hadis ini. Kata orang, apabila seseorang itu mencintai sesuatu maka selalulah disebut-sebutnya benda itu. Begitulah juga dengan kecintaan kita kepada Allah dan Rasul-Nya.

Amat menghairankan melihat orang-orang zaman ini. Apabila kita memberitahu mereka bahawa “Aku hendak duduk bermanja-manja dengan Kekasih”, mereka tertawa sesama sendiri seolah-olah perkataan itu satu bentuk jenaka. Mereka menganggap sesuatu yang melucukan apabila Tuhan disebut Kekasih, apatah lagi untuk duduk bermanja-manja dengan Tuhan. Namun bagi para sufi, perkara ini sudah menjadi budaya hidup mereka.

Allah Taala berfirman:

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

“Katakan: kalau bapa-bapa kamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri akan kerugian dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq.”

(Surah At Taubah : 24)

Jika benarlah seseorang itu sudah jatuh cinta, pasti dia akan menghabiskan banyak masanya dengan apa yang dicintainya itu. Ke manakah masa kita sehari-hari dihabiskan? Adakah kepada keluarga? Adakah kepada perniagaan? Ataupun kepada rumah?

Sebab itulah para sufi membiasakan diri berjaga malam untuk bersama Kekasih mereka. Ini memandangkan waktu siang telah dipenuhi dengan masa bekerja.

Rasulullah SAW memang menyuruh kita mencintai baginda sebagaimana sabdanya:

“Cintailah Allah kerana Dia memberi kamu makanan daripada nikmat. Dan cintailah aku kerana Allah mencintai aku.”

(Tirmizi)

Menurut satu riwayat, seorang lelaki pernah berkata kepada Nabi Muhammad:

“Ya Rasulullah. Sesungguhnya aku mencintaimu.”

Baginda menjawab: “Bersedialah untuk hidup miskin.”

Orang itu berkata lagi: “Sesungguhnya aku mencintai Allah Taala.”

Maka jawab Nabi SAW: “Bersedialah untuk menempuh dugaan.”

(Turmizi)

Daripada hadis ini, fahamlah kita bahawa sesiapa yang mencintai Rasulullah dan sunnah-sunnahnya akan diuji dengan kemiskinan dan kekurangan pada masa-masa tertentu. Dewasa ini, amat biasa kita melihat bagaimana pihak yang menentang ajaran Islam yang sebenar sering mendapat kemewahan dunia seperti wang ringgit, kemudahan-kemudahan tertentu, harta benda, kedudukan dan seumpamanya. Sedangkan dalam masa yang sama, pihak yang mencintai ajaran Islam yang sebenar sering pula kehilangan wang ringgit, kehilangan pelbagai kemudahan, harta benda, maruah, kedudukan dan sebagainya.

Diriwayatkan bahawa Saidina Umar r.a ada berkata:

“Nabi SAW memandang kepada Mus’ab bin Umair dengan menghadap kearahnya. Dan pada Mus’ab ada kulit kibas yang telah dibuatnya seperti tali pengikat pinggang. Lalu Nabi SAW bersabda:

“Lihatlah lelaki ini, yang telah dicurahkan nur (cahaya) oleh Allah ke dalam hatinya. Aku telah melihatnya (dulu bersama) di antara ibubapanya yang memberikannya makanan dengan makanan dan minuman yang lebih baik. (namun) dia dipanggil oleh rasa kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya, kepada apa yang kamu melihatnya (keadaannya sekarang).”

(Tirmizi)

Mus’ab bin Umair asalnya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kaya-raya di Kota Mekah. Dia sangat disayangi oleh kedua orang ibubapanya. Hidupnya senang-lenang dan serba mewah. Dikatakan kononnya Mus’ab bin Umair ialah pemuda yang paling bergaya di Kota Mekah. Pakaiannya ada yang berharga sampai dua ratus dirham, satu nilai yang sangat tinggi pada zaman itu untuk sehelai pakaian.

Memang dari awal lagi Mus’ab telah memeluk agama Islam tetapi disembunyikan keIslamannya daripada kedua orang tuanya. Namun hal tersebut akhirnya sampai juga ke telinga mereka. Mereka pun mengikat Mus’ab dengan tali agar dia tidak boleh keluar rumah. Mus’ab berjaya melepaskan diri lalu berpindah ke Abbysinia. Seterusnya dia berhijrah pula ke Madinah untuk bersama-sama kekasihnya- Rasulullah SAW.

Suatu hari, Mus’ab melintas di hadapan Rasulullah. Ketika itu dia hanya memakai sehelai kain sahaja dan kainnya itu bertampal-tampal. Dengan perasaan yang amat sedih disertai linangan air mata, Rasulullah menceritakan kembali bagaimana kehidupan Mus’ab sebelum Islam yang serba mewah. Namun kini Mus’ab hanya ada sehelai kain buruk untuk dipakainya.

Dalam peperangan Uhud, Mus’ab berperanan sebagai pemegang bendera tentera Islam. Suatu ketika tentera Islam terpukul hebat dan ada sebilangannya yang bertempiaran lari menyelamatkan diri. Dalam keadaan segenting itu, Mus’ab terus berdiri kukuh di tempatnya sambil memegang bendera. Sedikit pun tidak ada rasa gentar dalam hatinya.

Seorang musuh telah menetak tangan Mus’ab yang memegang bendera agar bendera tentera Islam tidak berkibar lagi. Mus’ab mengambil balik bendera itu dengan tangannya yang sebelah lagi. Kali ini tangan itu pula yang ditetak musuh. Dia terus berusaha memegang bendera di dadanya dengan bantuan kedua belah tangan yang berlumuran darah. Akhirnya, dada Mus’ab ditembusi pula anak panah menyebabkan dia rebah ke bumi. Mus’ab pun gugur sebagai seorang syuhada.

Di saat-saat pengkebumiannya, Mus’ab hanya ada sehelai kain sebagai penutup jasad. Itupun kain itu terlalu kecil. Jika ditarik untuk menutup kepalanya, kakinya akan terdedah. Kalau ditarik menutup kakinya pula, kepalanya akan terdedah. Rasulullah SAW menyuruh para sahabat menutup kepala Mus’ab dengan kain tersebut sementara bahagian kakinya ditutup dengan daun-daun Azkhar.

Begitulah sedihnya riwayat seorang pemuda yang dibesarkan dalam kehidupan serba mewah tetapi matinya dalam keadaan yang amat dhaif. Jika dulu dia ada pakaian yang berharga dua ratus dirham, tapi kini mayatnya ditutup dengan sehelai kain kecil sahaja. Sesungguhnya Mus’ab telah berjaya.

Semoga kekukuhan imannya menjalar ke segenap jiwa kita.

Dalam sebuah hadis ada disebutkan yang Nabi Ibrahim a.s. berkata kepada Malaikat Maut yang datang untuk mengambil nyawanya, “Adakah engkau melihat Yang Dicintai (Allah) itu mematikan yang dicintai-Nya (Nabi Ibrahim)?”

Maka Allah Taala pun menurunkan wahyu kepada Nabi Ibrahim, “Adakah engkau melihat Yang Mencintai (Allah) itu tidak suka untuk menemui yang dicintai-Nya (Ibrahim)?”

Maka Nabi Ibrahim pun berkata, “Wahai Malaikat Maut, ambillah nyawaku sekarang.”

Dalam hadis ini, setelah Nabi Ibrahim faham akan hakikat kematian maka dia pun tidak ragu-ragu lagi untuk meminta Malaikat Maut mengambil nyawanya ketika itu juga. Sebagaimana madah para sufi, “Bukankah mati itu syarat menemui cinta?”

Hakikat ini hanya dapat diperolehi oleh hamba-hamba yang mencintai Allah dengan seluruh hatinya. Apabila kita faham bahawa kematian itu sebenarnya menjadi batu loncatan untuk kita bertemu dengan Allah, maka tidak adalah kegusaran takut akan kematian itu. Namun perlu diingat, perbekalan untuk menghadapi kematian itu bukanlah mudah untuk kita menyediakannya.

Nabi kita SAW membaca dalam doanya:

“Ya Allah Tuhanku. Anugerahilah (agar) aku mencintai Engkau, mencintai orang yang mencintai Engkau dan mencintai apa (jua) yang mendekatkan aku kepada mencintai Engkau. Jadikanlah kecintaan kepada Engkau itu lebih aku cintai daripada air dingin.”

(Abu Naim)

Di Tanah Arab, air sejuk memang menjadi kesukaan ramai lebih-lebih lagi di waktu cuaca panas.

Seorang Arab desa datang kepada Nabi SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, bilakah Qiamat?”

Nabi SAW menjawab, “Apa yang telah engkau sediakan untuk (menghadapi) Qiamat itu?”

Arab desa itu menjawab, “Tiadalah aku sediakan untuk (menghadapi) Qiamat itu dengan membanyakkan solat dan puasa. Cuma aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

Lalu Nabi SAW bersabda: “Manusia itu (akan) bersama orang yang dicintainya.”

(Bukhari & Muslim)

Kata Anas: “Tidak pernah aku melihat kaum muslimin begitu bergembira atas sesuatu perkara sesudah kedatangan Islam, sebagaimana gembiranya mereka dengan hadis ini.”

Abu Bakar Siddiq r.a. berkata: “Barangsiapa dapat merasa kemurnian cinta kepada Allah Taala nescaya kemurnian cinta kepada Allah Taala itu membuatkan dia sibuk daripada mencari dunia dan sibuk hatinya daripada semua manusia.”

Al Hassan Basri berkata: “Barangsiapa mengenal Tuhannya, nescaya dia mencintai-Nya dan barangsiapa mengenal dunia, nescaya dia zuhud kepada dunia. Orang mukmin itu tidak bermain-main, sehingga menyebabkan dia lalai. Maka apabila dia bertafakur, nescaya gundah hatinya.”

Diriwayatkan bahawa Nabi Isa a.s. ada lalu berhampiran tiga orang manusia. Badan mereka telah kurus dan berubah warna mukanya. Nabi Isa pun bertanya kepada mereka: “Apakah yang menyebabkan kamu sampai begini keadaannya, seperti yang aku lihat sekarang?” Jawab mereka, “Kami takut akan neraka.” Lalu Nabi Isa berkata, “ Menjadi hak Allah untuk mengamankan orang yang takut.”

Kemudian Nabi Isa a.s. meninggalkan mereka dan bertemu pula dengan tiga orang hamba Allah yang lain. Tubuh mereka lebih kurus lagi dan berubah warna wajahnya. Nabi Isa bertanya , “Apakah yang menyebabkan kamu sampai begini keadaannya, sebagaimana yang aku lihat?” Mereka pun menjawab, “Kami rindu kepada syurga.” Lalu kata Nabi Isa a.s, “Menjadi hak Allah untuk memberikan kepada kamu apa yang kamu harapkan.”

Nabi Isa a.s. pun berlalu dan bertemu pula dengan sekumpulan tiga orang yang lain. Tubuh mereka jauh lebih kurus dan berubah warna mukanya, seakan-akan ada nur (cahaya) di wajah mereka. Nabi Isa a.s. pun bertanya, “Apakah yang menyebabkan kamu sampai begini keadaannya, sebagaimana yang aku lihat sekarang?” Jawab mereka, “Kami mencintai Allah Taala.” Lalu Nabi Isa a.s. pun berkata, “Kamulah orang-orang muqarrabin! Kamulah orang-orang muqarrabin! Kamulah orang-orang muqarrabin (orang-orang yang dekat dengan Allah)!”

Abdul Wahid bin Zaid bercerita: Aku lalu berdekatan seorang yang berdiri di atas salju (pada suatu musim dingin). Aku pun bertanya, “Tidakkah engkau merasa sejuk?” Orang itu menjawab, “Sesiapa yang sibuk dengan cinta kepada Allah, sudah tentu dia tidak akan merasa sejuk.”

Begitulah hangatnya bahang cinta kepada Khalik sehinggakan kedinginan musim salji tidak lagi memberi bekas.

Haram bin Hayyan berkata: “Orang mukmin, apabila mengenal Tuhannya Azza wa Jalla, nescaya mencintai-Nya. Apabila mencintai-Nya nescaya menghadap kepada-Nya. Apabila mendapat kemanisan menghadap kepada-Nya nescaya dia tidak akan memandang kepada dunia dengan mata nafsu syahwat. Dan dia tidak akan memandang akhirat dengan mata yang lesu. Kemanisan menghadap itu menyusahkannya di dunia dan menyenangkannya di akhirat”.

Fahamlah kita, apabila seseorang itu sudah kenal dan cinta kepada Allah, dia akan memandang akhirat dengan mata hati yang bersinar-sinar.

Dalam sebahagian kitab-kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul terdahulu ada disebutkan: “Wahai hamba-Ku! Telah menjadi hak engkau untuk mencintai. Maka dengan hak-Ku ke atas engkau pula, engkau mesti menyintai Aku!”

Yahya bin Ma’az berkata, “ Seberat biji sawi daripada kecintaan itu lebih aku sukai berbanding dengan ibadah tujuh puluh tahun tanpa kecintaan.”


seterusnya
No posts.
No posts.